Ada apa dengan Khadija? (I)


Apabila melawat Muzium Kesenian Islam (Islamic Arts Museum) di Kuala Lumpur baru-baru ini saya berkesempatan untuk membeli 2 buah buku kanak-kanak yang berjudul ‘Marriage of Muhammad‘ dan ‘The Year of Grief‘.

Buku yang pertama berkenaan hubungan Rasullullah (SAW) dengan Khadija (RA) dan buku kedua pula kisah hidup Rasullullah selepas kematian Khadija. Kedua-dua buku ini diterjemah dan diterbit di Malaysia oleh Pustaka Yamien pada tahun 2006. Menarik cara penceritaan kisah-kisah ini walaupun bahasanya masih boleh dirapikan lagi oleh pihak pengarang.

Dan kalau saya diberi peluang merombak buku ‘Marriage of Muhammad‘, akan saya buang ayat ini dari mukasurat 18 kerana ia tidak relevan langsung dan menganggap wanita berusia 40-an sebagai sudah hilang kejelitaan mereka:


Although she was 40 years old, Khadijah r.a. was still beautiful.


Symbol yang biasa diguna oleh pergerakan feminisme Muslim.

Sudah beberapa kali saya membaca kedua-dua buku ini, maklumlah buku kanak-kanak yang hanya lebih kurang 20 mukasurat sahaja. Terfikir panjang pula perihal hubungan Rasullullah dengan Khadija. Buku-buku ini jelas menekankan keistimewaan Khadija sebagai seorang individu, usahawan, wanita, isteri dan sahabat akrab. Tapi kalau dilihat keadaan sosial ummah hari ini seolah-olah Khadija tidak pernah wujud dalam sejarah untuk dijadikan tauladan.

Cuba kita bayangkan Khadija hidup sesama kita pada zaman sekarang. Apa agaknya akan dikatakan oleh sanak-saudara apabila mendengar ada usahawan wanita cemerlang dan kaya-raya yang juga seorang balu berumur 40-an telah jatuh hati dengan staff-nya yang berumur 25 tahun? Kemungkinan besar wanita itu akan dilabel sebagai cougar (wanita berusia yang minat kepada lelaki muda). Si lelaki pula akan disyaki mata duitan yang sanggup di-queen control.

Apa pula jika wanita itu yang masuk meminang dan bukan sebaliknya? Sedangkan zaman sekarang pun pengantin perempuan sekadar disembunyikan di sudut dinding dalam majlis akad nikah, apatah lagi nak diharap berbuat seperti Khadija.

Menurut buku kanak-kanak ‘Marriage of Muhammad‘ tadi, Khadija telah menghantar deligasi meminang yang diketuai bapa saudaranya (Amr al-Asad) dan seorang sepupu perempuan beragama Kristian-Nasrani (Waraqa bint Naufal). Bak kata golongan hip-hop, “Oh, snap!”

Khadija releks saja, kita pula bagaimana? Menurut sumber lain, yang pertama dihantar oleh Khadija untuk bertanyakan soal kahwin kepada Rasullullah adalah BFF-nya (Best Friend Forever), seorang perempuan bernama Nafisa. Ini sedikit-sebanyak memberi gambaran pergaulan pada zaman itu. Sedangkan Nafisa boleh berjumpa terus dengan Rasullullah untuk menyampaikan hasrat Khadija inikan pula kita pada zaman ini yang menghendakkan kaunter bayaran berasingan di kedai awam.

Apa dah jadi? Kalau wujud kereta pada zaman itu kemungkinan besar Nafisa memandu sendiri ke rumah Rasullullah. Tapi hari ini di Arab Saudi wanita nak memandu pun tak boleh, apatah lagi nak berjumpa bakal tunang BFF sendiri. Malah, tak perlu nak membayangkan situasi sebegitu. Cuba saja bayangkan samada Khadija boleh wujud di tanahairnya hari ini sepertimana beliau wujud pada zaman dahulu.

Contohnya, jika Khadija wujud hari ini di tanahairnya bolehkah beliau mengarah pekerjanya yang bernama Muhammad untuk pergi berniaga di Syria bertemankan seorang lagi pekerja yang bukan muhrim bernama Maisara? Adakah dunia perniagaan masyarakat Muslim hari ini akan terbuka berdagang secara saksama dengan usahawan wanita berkarisma seperti Khadija?

Terfikir panjang saya dalam persoalan ini dan tertanya, ke mana arah ummah hari ini jika ruang untuk wanita seperti Khadija seolah-olah semakin sempit? Namun, wanita inilah yang diberi kasih sayang dan kepercayaan menyeluruh oleh Rasullullah. Malah, dalam buku kanak-kanak tadi yang berjudul ‘The Year of Grief‘, Khadija disebutkan sebagai “kubu pertahanan” di mana Rasullullah berselindung.

Selama 24 tahun mereka berkahwin Rasullullah tidak pernah mengambil isteri lain. Dan apabila Khadija meninggal dunia pada umur 65 tahun Rasullullah dikatakan patah hati dan berada dalam keadaan bersedihan yang berpanjangan. Tahun itu juga Rasullullah kehilangan bapa saudaranya, Abu Talib. Maka tahun itu dikenali dalam sejarah Islam sebagai “Tahun Kesedihan”.


Aisha narrated: Never did I feel jealous of the wives of Allah’s Apostle (PBUH) but in the case of Khadija, although I did not have the privilege to meet her. [Aisha] further added that whenever Allah’s Messenger (PBUH) slaughtered a sheep, he said: Send it to the companions of Khadija.

I annoyed him one day and said, “It is Khadija only who always prevails upon your mind”. Thereupon Allah’s Messenger (PBUH) said: Her love had been nurtured in my heart by Allah Himself.

(Sahih Muslim, 31:5972)