Takkan wanita sempurna


Imej dipetik daripada 20sinamerica.blogspot.com

Dayana Bahazelan, seorang wanita dari Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini telah menulis berkenaan pemakaian hijab dalam rencananya yang bertajuk ‘Bertudung tetapi berpakaian seperti telanjang?

Dayana mengecam “lelaki di dunia” sebagai mempunyai niat “pandangan jahat” dan seterusnya mempertanggungjawabkan wanita untuk menutup aurat demi mempertahankan maruah diri sendiri. Dengan mengecam lelaki sedemikian, Dayana sekaligus menobatkan lelaki ke satu tahap di mana mereka langsung tidak bertanggungjawab atas perlakuan mereka terhadap wanita dan “kejahatan” pula adalah sekadar naluri semulajadi kurniaan Allah SWT.

Pemikiran seperti Dayana agak meluas di kalangan ummah Islam di mana wanita dilihat sebagai pengundang perkara jahat yang berlaku terhadap diri mereka sendiri. Pandangan dunia ini biasa kedengaran apabila berlaku kes rogol di mana mangsa pula dipersalahkan atas nasib malangnya. Di Pakistan, India dan Iran contohnya, ada di kalangan ummah Islam mengguna alasan ini untuk memberi justifikasi kepada adat honour killing atau hukum bunuh bagi wanita yang disyaki melakukan zina. Bagi golongan ini mangsa rogol juga dianggap sebagai penzina.

Di Malaysia, tidak lain dan tidak bukan Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sendiri pernah berkata, “Dah dia (wanita) buka aurat, dirogol … Padanlah muka dirogol”. Namun realitinya bukan wanita yang tidak menutup aurat sahaja yang menjadi sasaran nafsu lelaki-lelaki bangsat. Kes rogol melibatkan remaja perempuan di Afghanistan, Lal Bibi, menjadi bukti dan peringatan bahawa menutup aurat bukan penentu keselamatan bagi wanita.

Dalam isu menutup aurat ini Dayana berpendapat memakai hijab sahaja belum mencukupi. Malah niat ikhlas (batin) seseorang wanita yang mengambil langkah untuk memakai hijab juga tidak mencukupi. Yang ditekankan Dayana adalah perkara yang zahir.

Kata Dayana hijab mesti dipakai mengikut satu cara khusus dan dipadankan dengan jenis pakaian yang tertentu sahaja. Lebih daripada itu, Dayana menyerang wanita yang berhias dalam pemakaian hijab mereka. Katanya mereka ini “membesarkan rasa sombong, riak dan bangga dalam diri. Mereka merasakan pemakaian tudung merekalah yang paling bergaya, mengikut trend dan mempunyai kelas tersendiri”.

Tambahnya lagi, “rekaan itu semua bukannya untuk mengelakkan fitnah tetapi menambahkan fitnah ke atas wanita tersebut”. Siapa sebenarnya yang memfitnah di sini? Agak sumbang juga bunyinya apabila Dayana yang nampaknya ingin meletakkan diri di tahap yang lebih bermoral daripada wanita lain melontarkan pra-sangka sedemikian. Ketara dalam penulisan Dayana wanita takkan boleh sempurna.

Pasti akan ada kekurangan, kelemahan atau kesalahan bagi wanita. Tidak berhijab dikatakan salah. Tapi kalau berhijab pun belum tentu diterima, tidak kira apa niat di hati. Dan kalau cara pemakaian hijab “betul” pun, belum tentu sempurna. Apatah lagi kalau ada corak dan labuci …

Segala ketidaksempurnaan ini pula dipautkan secara langsung kepada lelaki. Dalam rencananya Dayana berulang kali menekankan tuntutan agama terhadap wanita tetapi tidak sekalipun dia merujuk kepada ayat al-Qur’an yang menuntut perlakuan baik oleh lelaki. Mengapa?


Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan

(Al-Qur’an, 24:30)


Imej dipetik daripada laman Facebook Muslim Feminists.


* Teringat pula rintihan seorang sahabat baru-baru ini yang menyoal mengapa ibubapa menasihati anak perempuan mereka agar berjaga-jaga apabila keluar rumah tetapi tidak pula menasihati anak lelaki mereka agar berkelakuan baik dan tidak merogol sesiapa.