Menelaah pengalaman menonton 3 karya kontemporari dalam Bahasa Melayu

April 19th, 2011 § 8 Comments

Dalam tempoh beberapa bulan yang lepas penulis berkesempatan untuk menonton 3 buah karya kontemporari dalam Bahasa Melayu: Aku Siapa (Dokumentari oleh Norhayati Kaprawi), Anu Dalam Botol (Filem oleh Raja Azmi Raja Sulaiman) dan Madu II (Teater arahan U-En Ng).

Penulis sebenarnya agak segan untuk menyuarakan pendapat sendiri, memandangkan penulis hanya seorang konsumer yang tidak mempunyai pengetahuan teknikal dari aspek produksi atau sejarah karya.

Maka, apa yang bakal ditulis ini sekadar catatan seorang penonton biasa sahaja, tidak menyeluruh dan mungkin lebih menjurus kepada komentar terhadap reaksi penonton-penonton lain.

Aku Siapa

Aku Siapa promotion poster

Terkejut apabila melihat panggung Annex di Pasar Seni penuh dengan manusia yang berbilang bangsa dan agama pada hari pelancaran dokumentari Aku Siapa. Tak sangka ramai yang bukan dari golongan Melayu atau beragama Islam berminat untuk menonton dokumentari berkenaan hijab. Tak sangka juga ramai dari golongan wanita hijabi dan abang-abang muda bermotosikal berminat untuk menonton karya oleh Norhayati Kaprawi.

Norhayati yang sebelum ini pernah membuat dokumentari Mencari Kartika lebih dikenali sebagai seorang aktivis hak asasi wanita yang melihat dunia dari lensa wanita Islam progresif. Berdasarkan itu sahaja pasti akan ada penonton yang kurang selesa dengan perspektif Norhayati. Namun di Annex pada malam itu, secara amnya penonton berfikiran terbuka terhadap persoalan yang Norhayati lontarkan dalam Aku Siapa.

Yang menarik bagi penulis adalah komentar berkenaan elemen konsumerism dan koformiti dalam budaya hijab di Malaysia yang belum pernah dibincang secara jujur dan terbuka, mungkin kerana takut bercanggah dengan landasan dakwah nasional. Penulis sendiri mengaku tidak pernah mempertimbangkan elemen-elemen ini apabila memikirkan isu hijab, namun kedua-duanya wujud di depan mata dalam kehidupan harian masyarakat Malaysia.

Pasti ramai yang akan tercabar dan berasa tidak puas hati dengan persoalan ini, terutama sekali bagi orang Islam yang percaya bahawa barang siapa wanita yang berhijab melakukannya 100% demi Allah dan tanpa sebarang pengaruh atau tekanan. Tapi adakah ini benar? Tidakkah kita hipokrit jika menafikan realiti bahawa ada ramai wanita yang berhijab kerana didesak ibubapa, suami atau teman lelaki; kerana peraturan sekolah atau tempat kerja; disebabkan ejekan kawan-kawan; dan perasaan tidak mahu dipandang rendah oleh ahli-ahli komuniti?

Pada malam itu di Annex ada seorang hijabi yang berasa suaranya tidak diwakili dalam Aku Siapa. Beliau yakin tindakan beliau untuk berhijab ikhlas kerana Allah dan tanpa sebarang pengaruh atau tekanan. Dengar khabar, ada suara sedemikian yang lebih lantang lagi selepas dokumentari dipapar buat kali kedua di HELP University College. Benar juga kata mereka, bahawa suara “hijabi ikhlas” terus malap dalam dokumentari Norhayati.

Tapi apa yang gagal diperakui oleh penonton-penonton ini adalah bahawa Aku Siapa bukan satu dokumentari berkenaan mereka, dan tidak menafikan niat ikhlas mereka. Ia satu dokumentari yang mengetengahkan suara golongan hijabi yang sedar akan elemen pengaruh, pernah berasa tertekan dan mungkin kurang jelas mengapa mereka memakai hijab. Tak kiralah jika mereka terdiri daripada golongan majoriti atau minoriti wanita berhijab, mereka tetap wujud dan adalah sebahagian dari ummah Islam di Malaysia.

Penulis juga tertarik dengan perspektif evolusi yang diketengahkan Norhayati di mana budaya hijab di Malaysia dipautkan kepada kebangkitan politik Muslim di Iran dan Tanah Arab pada era 1970an dengan politik tanahair. Dalam menghuraikan perspektif ini Norhayati menyelitkan klip video ceramah ulema kehormat parti Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mencaci wanita yang tidak menutup aurat sebagai mengundang malang, malah menggalakkan agar mereka dirogol untuk diberi pengajaran. Menurut Norhayati, setakat ini belum ada penonton yang melafazkan rasa terkejut atau tidak bersetuju dengan Nik Aziz.

Norhayati juga berkesempatan untuk menemuramah bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas ketua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Anwar Ibrahim, yang dipertanggungjawabkan ke atas fenomena “Islamisasi” di Malaysia. Anwar, kini Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat dan ketua Pembangkang di Parlimen, jelas cuba memberi jawapan bersifat liberal yang berbeza dan menyangkal prinsip ABIM yang didokong beliau dahulu.

Pada pendapat penulis, jika ada kegagalan besar dalam Aku Siapa ia adalah ketiadaan perbincangan berkenaan pengaruh parti Umno dan dasar-dasar kerajaan dibawah pimpinan Umno dalam evolusi hijab di Malaysia. Norhayati mengambil masa untuk menelanjangkan hipokrasi pemimpin sanjungan ahli Pas dan Parti Keadilan Rakyat tapi tidak pula Umno yang tak pernah putus kuasa diperingkat nasional sejak negara Merdeka.

Meskipun penulis berharap lebih ramai lagi akan dapat menonton Aku Siapa dan memikirkan persoalan-persoalan yang dibangkitkan secara tenang dan terbuka. Ini termasuk perbandingan imej ummah di Malaysia pada zaman dahulu dan sekarang. Ia provokatif, tapi penting.

Anu Dalam Botol

Anu Dalam Botol promotion poster

Kalau tak kerana kutukan hebat oleh sahabat-sahabat gay terhadap filem ini, tak mungkin penulis akan tahu-menahu kisah Anu Dalam Botol. Memang sebelum filem ini keluar di pawagam riuh satu kampung berkenaan peraturan kerajaan untuk pembikin filem yang ingin menceritakan watak homoseksual dalam filem mereka. Katanya, demi menegakkan moraliti rakyat, watak tersebut harus akhirnya insaf dan “kembali normal”, atau ditimpa bencana.

Tentu sekali peraturan sebegitu tidak akan diterima baik komuniti LGBT dan mereka yang percaya bahawa setiap insan itu ciptaan Allah yang dikurniakan ciri-ciri dan hak asasi masing-masing. Tambah lagi peraturan yang memaksa watak homoseksual “kembali normal” atau ditimpa bencana bukan sahaja bersifat diskriminasi tetapi satu pembohongan akan realiti masyarakat yang sebenar.

Maka apabila peraturan ini diperkenalkan, secara umumnya ramai yang menjangka Anu Dalam Botol akan menurut perintah. Apatah lagi apabila pihak produksi sendiri mengatakan filem tersebut bertujuan memberi “tauladan dan sempadan kepada masyarakat”. Tertarik dan jengkel dengan kontroversi ini, penulis mengambil keputusan untuk menilai sendiri filem tersebut.

Dari awal hingga penghujung filem, penulis menantikan elemen “dakwah” yang dijanjikan pihak produksi, malah pengkritik-pengkritik Anu Dalam Botol sendiri. Namun pada pendapat penulis, elemen itu tidak wujud. Benar, watak Ruby akhirnya di-normal-kan kembali menjadi jantan berkumis, Rubidin. Tapi, adakah perubahan tersebut berdasarkan “keinsafan” dan memikul mesej moral yang dituntut peraturan kerajaan? Penulis rasa tidak.

Apa yang penulis nampak dalam Anu Dalam Botol adalah gambaran realiti perit yang dialami ramai daripada golongan LGBT di Malaysia ~ kisah cinta ikhlas yang terpaksa disembunyikan daripada masyarakat umum, penolakan dan penafian oleh kaum keluarga, penafian diri sendiri demi memuaskan tuntutan masyarakat, konflik peranan diri dalam konteks agama, dan pengasingan atau “isolation”.

Terharu pula penulis apabila filem berakhir, dan tersenyum memikirkan cubaan “tauladan” yang pada pendapat penulis boleh diketegorikan sebagai “epic fail”. Meskipun dilontar peraturan moral dan dijanjikan tauladan oleh pihak produksi, si jantan berkumis Rubidin tetap melompat keluar dari tingkap untuk melarikan diri daripada memasuki perkahwinan heteroseksual. Walaupun sedih, kesal dan terasing dipenghujung filem, Rubidin tetap jujur dengan sifat sanubarinya.

Berkenaan penghayatan penulis apabila menonton Anu Dalam Botol, boleh dirumuskan penulis agak pening kepala dan jengkel dengan arahan kamera dan suntingan filem. Penulis lebih rela merajinkan diri pergi berjoging daripada menonton filem tersebut buat kali kedua.

Madu II

Madu II promotion poster

Dengar khabar skrip asal Alfian Saat telah diubah sedikit (dengan izin) dalam pementasan kali ini. Penulis tidak dapat membuat perbandingan kerana tidak pernah menonton pementasan terdahulu atau membaca skrip asal. Namun apa yang penulis tonton tempoh hari, penulis suka. Yang paling “mahal” dalam Madu II ialah skripnya yang licik, cerdik dan lucu.

Kalau boleh penulis wujudkan ketegori untuk seni-seni pandai, akan penulis letakkan Madu II Alfian dalam ketegori itu ~ bersama dengan karya-karya Pink Martini dan seni-seni pandai yang lain. Tapi, arahan U-En Ng dikatakan terlalu muram untuk skrip Alfian. Penulis sendiri tidak berasa begitu, malah menganggap sentuhan gelap U-En berjaya mencerminkan suasana perit yang dialami ramai isteri-isteri dalam rumahtangga yang berpoligami.

Jujur penulis katakan tidak terus terserap menghayati pementasan ini pada permulaannya. Ada sesuatu dalam perwatakan Elza Irdalynna (Isteri #1) yang pada mulanya kurang meyakinkan. Dan garisan konfeti di tengah-tengah pentas agak membingungkan. Tetapi tidak lama kemudian, Elza dan Inessa Irdayanty (Isteri #2) mula berhubung dan wujud satu dinamik yang menarik dalam lakonan pasangan adik-beradik itu.

Kembali kepada garisan konfeti tadi, hendak penulis jemput kambing biri-biri dari New Zealand untuk makan konfeti itu. Dan apa pula kesudahan Madu II selepas itu? Nasi kangkang? Ya. Walaupun ada penonton yang merasai cerita Madu II agak tergantung penutupnya, penulis berasa ia agak sesuai. Begitulah kisah dua wanita yang mencari kebahagiaan dari satu sumber yang sama.

Advertisement

Tagged: , , , , , , ,

§ 8 Responses to Menelaah pengalaman menonton 3 karya kontemporari dalam Bahasa Melayu

  • Shamaine says:

    pada pendapat saya, saya tidak ada masalah dengan aspek teknikal filem Anu Dalam Botol. Saya amat kagum dengan arahan kamera, suntingan dan juga muzik filem ini.

    Apa yang saya dapat rasa setelah menonton filem itu adalah rasa terperangkap oleh watak Rubidin. Bak dalam botol…hehehe….

    One of the best malay films I’ve seen in the past 2 years…

  • Hadifah says:

    Anda membuatkan saya agak menyesal tidak menonton MADU II hari itu.

    Saya juga minat dengan karya Norhayati Kaprawi.

    Anu dalam Botol – lupakan sahaja.

  • sesha says:

    sentuhan gelap……………
    hahahhahahhahahahahaha!

  • Juana Jaafar says:

    Shamaine, saya setuju dengan analogi botol yang Maine katakan itu. terima kasih sudi membaca review di atas.

    Hadifah, tu la … patut minggu lalu ambil kesempatan tonton Madu II. kalau ada kesempatan, cuba tonton Aku Siapa. Yati sedang adakan roadshow. kalau dia turun Johor, saya akan beritahu Hadifah.

    sesha, *renungan ganas*

  • Jennie says:

    Kepada adinda yang tersayang,
    Saya belum tengok lah. You bagi saya itu celup punya boleh kah?

  • Juana Jaafar says:

    Kak Jennie, yang local punya tak ada celup kot. but if i see the DVD around, i’ll get you a copy.

  • It’s a brilliant writeup! My thanks. Sorry I took so long to post a comment.

    I missed Madu II though.

    Regards,
    Hafidz Baharom

  • Juana Jaafar says:

    thanx, Hafidz. hope you catch Madu II next time around. great script.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

What’s this?

You are currently reading Menelaah pengalaman menonton 3 karya kontemporari dalam Bahasa Melayu at . . ..

meta